Filem dan falsafah
Antara filem kegemaran abah. Lagu temanya Ecstasy of Gold diberi nafas baru oleh Metallica seterusnya menjadi lagu kegemeranku kini |
Cerita Melayu malangnya sukar memenuhi selera terutama filem-filem baru. Dengan lawak bodoh, plot yang lemah serta falsafah cerita yang teramat kurang, tidak hairanlah DVD di rumah amat kurang filem Melayu (jika ada pun, adikku Putri Syazwani yang punya). Tetapi abahku amat meminati P.Ramlee kerana filem-filemnya seperti Antara 2 Darjat dan Semerah Padi yang menceritakan perjuangan dan usaha keras rakyat Marhaen dalam mempertahan diri dari ditindas. Filem-filem sebegini amat kena dengan jiwa abah yang dari usia mudanya tak pernah jemu memperjuangan rakyat dari ditindas kaum pemerintah dan pemodal yang zalim.
Jangan silap faham pula, abah bukanlah siang malam menonton filem serius yang berat sahaja. Abah amat gemar dengan komedi P.Ramlee dan Mr Bean dan menyifatkan mereka sebagai pelawak kelas A yang 'Intelligent'. Memang benar, filem-filem seperti Bujang Lapok, 3 Abdul, Madu Tiga dan Anak Bapak, ulang 1000 kali pun masih tak jemu menontonnya.
Hantu? Abah kurang minat, kerana pada abah, tiada hantu dalam filem yang boleh menyeramkan. Mungkin dengan pengalaman sendiri berjumpa 'Pengarah' dan bermacam entiti semasa mendaki Gunung Tahan atau menyelami Sg Pahang dan sebagainya, hantu-hantu dalam filem macam dah tiada kesan. Cuma abah pernah menyebut, beliau agak seram jugak menonton hantu kanak-kanak seperti filem Dark Water. Hmm..
Comments
Post a Comment