Calon pilihanraya dan kacau dodol
Poster pilihanraya yang menjadi kenang-kenangan. Pak saudaraku Allahyarham Uncle Yem (Abdul Rahim) pernah mengutip poster-poster ini yang terjatuh untuk disimpan. |
Abahku menjadi calon PAS untuk DUN Dong pada pilihanraya umum 2004. Abahku memang anak jati Dong yang mana dilahirkan di Kg Ajai. Malah pernah menjadi pengetua di Sekolah Menengah Dong selama setahun dan dalam tempoh sesingkat itu berjaya menaikkan peratusan kelulusan SPM sekolah berkenaan sehingga 90%. Bak kata, Abahku memang agak terkenal lah dalam kawasan DUN tersebut.
PAS kawasan Raub pada waktu itu ketandusan calon yang berkaliber. Pemimpin PAS setempat Tengku Puji tidak dapat bertanding kerana masalah peribadi manakala calon hebat Dr Nilam Manaf bertanding di Batu Talam. Abahku menerima panggilan daripada rakan-rakan untuk membantu menjadi calon di sana atas faktor anak tempatan dan pandai berbahasa Cina. Dalam DUN tersebut terdapat beberapa kawasan Cina yang agak kuat MCA seperti Sg Ruan.
Dong merupakan antara kubu kuat BN di Pahang. Bukan mudah untuk menawan kawasan ini tambahan lagi Datuk Shahiruddin wakil UMNO adalah calon yang telah lama berkhidmat di sini. Hanya ada beberapa kawasan yang dikategorikan putih untuk PAS iaitu Dong sendiri dan Jelu yang mana majoriti penduduknya berasal dari Kelantan. Orang Tok Guru la katakan.
Semasa berkempen, Abahku menyerahkan sepenuhnya van Liteace sebagai kenderaan parti. Anak-anak muda yang membantu menaikkan poster juga ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Bilangan mereka mungkin kecil berbanding petugas UMNO yang dibayar dan diberi makan dan rokok sepanjang masa.
Apabila sampai di sebuah kampung 2 atau 3 hari sebelum pilihanraya, Abahku dan rombongan PAS tiba di sebuah kenduri yang kebetulan diadakan di situ. Terdapat beberapa orang UMNO sedang mengacau dodol di situ. Apabila nampak abah dan rombongan sedang bersalam-salaman, geng-geng UMNO tadi memanggil abah.
Abah datang dekat dan mereka menyerahkan pengacau dodol kepada abah, kononnya nak berbuat baik. Abah pun kacau la sedikit dodol tadi, dan pengacaunya pun dah ada dalam tangan. Geng-geng karat ni tadi berkata
"Ooo tak boleh, tak layak lagi ni. Tak boleh ni..tak boleh!" sambil ketawa berdekah-dekah.
Beberapa pengikut yang lain memang panas jugak tetapi abah menyabarkan mereka seraya berkata
"Tuan-tuan, saya datang ke sini bagi mewakili suara tuan-puan ke Dewan Undangan Negeri Pahang. Saya ke sana bukan untuk membawa resepi atau cara membuat dodol, tetapi hak dan kepentingan tuan-tuan semua ke sana."
Penyokong-penyokong bertepuk tangan. Si UMNO tadi terdiam.
"Jadi jika inilah pertimbangan tuan-tuan, bahawa nak ke dewan rakyat nanti mesti pandai mengacau dodol, maka saya faham sangat lah dengan (kualiti) calon tuan-tuan nanti"
Hehe, mendengar cerita abah, saya faham, pendokong UMNO tadi tidak akan insaf. Calon UMNO bagi mereka mesti boleh melepaskan kambing jika terjatuh ke dalam perigi, atau mesti boleh memberikan RM20 jika tak cukup duit beli susu anak. Sedangkan wakil rakyat yang terbaik bukan memberikan duit jika kita tiada duit, tetapi menunjukkan cara bagaimana mendapatkan duit jika tiada duit.
Abah tewas dalam pilihanraya tersebut namun tetap berpuas hati kerana mampu mendengar dan melayani keluh kesah rakyat dalam waktu yang singkat itu.
Comments
Post a Comment