Bunga Bangsa yang dikagumi Abah

Presiden Indonesia yang pertama, Bung Karno

Abahku amat mengagumi Allahyarham Soekarno, Presiden pertama yang juga digelar 'Penyambung Lidah Bangsa Indonesia'. Sebabnya bukan sukar untuk diterjemahkan, perjuangan perjuangan dan perjuangan. Bagi abahku, perjuangan Indonesia membebaskan diri dari belenggu penjajahan amat klasik dan penuh tribulasi. Indonesia membebaskan negara mereka melalui revolusi. Mungkin bertitik tolak dari sinilah, abahku amat berminat bahkan melibatkan diri dengan perjuangan kiri dan sering menggelarkan diri sebagai pejuang revolusinari. Malah, abahku mendapat gelaran 'Bung' juga kerana pengaruh dari nama panggilan tokoh revolusi Indonesia iaitu Bung Karno sendiri, Bung Hatta dan Bung Tomo.
Ucapan sempena setahun kemerdekaan

Soekarno juga 'digilai' abah atas ucapannya yang sangat 'berapi' berserta hujah yang bernas dan padat, sehinggakan hadirin mampu mengikutinya selama 4 jam tanpa bergerak sedikitpun. Selain itu, Soekarno amat tegas dengan prinsip, sehingga berani berkata "Pergi jahanam Amerika dengan bantuan-bantuanmu!" kepada US tatkala mereka cuba menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk melancarkan konfrontasi ke atas Malaysia (Maafkan jika aku tersilap, kata-kata Soekarno benar, tapi peristiwanya aku rasa konfrontasi Malaysia, tak begitu yakin). Abah mepunyai sebuah buku yang dibeli tahun 1965 ketika berumur 20 tahun, iaitu Di Bawah Bendera Revolusi. Bagaimana abah dapat buku ini, tidaklah ku ketahui. Tetapi buku ini adalah ucapan kemerdekaan Presiden Soekarno dari 1946 sehingga 1965. Antara ucapan tersebut adalah seperti berikut :


Alangkah hebatnya tahun yang telah lalu itu! Tiga ratus enam puluh lima hari kita bekerja, membanting tulang, berjuang bermati-matian, menderita, menghadapi gunung-gunung kesulitan. Tiga ratus enam puluh lima hari kita berjuang dan bekerja secara laki-laki, secara herois.

Tatkala 17 Augustus tahun yang lalu, kita memproklamirkan kemerdekaan kita dengan kata-kata yang sederhana - belum dapat kita membayangkan benar-benar apa yang kita hadapi. Kita hanyalah mengetahui, bahawa proklamasi kita itu adalah satu pekik "Berhenti!" kepada penjajahan 350 tahun. Kita majukan proklamasi kita itu kepada dunia sebagai hak asli kita, hak bangsa kita, hak kemanusiaan kita, hak hidup kita, dengan cara yang setajam-tajamnya. Kita majukan proklamasi kita itu, pula sebagai seruan yang selangsung-langsungnya kepada rakyat dan bangsa kita sendiri, untuk menentukan nasibnya sendiri dengan tindakan dan perbuatan sendiri.


Abah sering menyatakan kepadaku, Indonesia tidak seperti Malaysia. Mereka merdeka melalui jalan penuh liku dan berduri. Terpaksa berperang dan berkonfrontasi dengan Belanda terlebih dahulu sebelum dan selepas merdeka. Berbanding Malaysia yang lebih mudah kerana berunding dan bekerjasama dengan Inggeris. Tidak hairanlah Soekarno pernah menggelar Malaysia sebagai Neo Colonialisme. Bekerjasama hanya untuk mengekalkan pengaruh dan harta benda masing-masing.

Inilah bukunya, Di Bawah Bendera Revolusi

Sebenarnya abah amat mengagumi Indonesia sebelum dan pada zaman Bung Karno. Pada abah, Indonesia telah menjelmakan semangat nasionalis kepada Malaysia untuk merdeka dan tak tunduk kepada ketuanan penjajah. Selain Mat Kilau dan Dato Bahaman, abahku sering merujuk Dipo Nogoro dan Kapitan Pattimura sebagai pejuang tulen menentang penjajahan. Indonesia juga selain dari bumi wali songo (wali sembilan) adalah lubuk kepada kitab-kitab agama dan fahaman Islam yang lebih progresif melalui penulisan dan pengucapan HAMKA dan pak-pak kiyai yang lain. Namun begitu, apa bermulanya zaman Soeharto, abahku mula tidak memandang tinggi pada Indonesia dan mengganggap mereka sebagai caprut sahaja di sini. Jatidiri bangsa Indonesia semakin terhakis dengan kebanjiran penipu, perampok, perogol di sini yang kebanyakannya dari tanah seberang. Abahku juga mula menganggap bangsa Jawa terlalu etnosentrik, yang terlalu mengangungkan bangsa sendiri dan sukar menerima kelemahan, sedangkan mereka mencari rezeki di sini.

Apapun perangai orang Jawa, Banjar atau Kampar di sini, abahku tetap memandang tinggi kepada bapa kemerdekaan Indonesia ini sehingga menggantung gambarnyan di dalam bilik sebagai inspirasi. Semoga dengan rezeki Allah, abah bertemu dengan Bung Karno di alam sana.

HIDUP RAKYAT!

Comments

Popular posts from this blog

Kari Ayam Sempalit

Ulasan Buku : Tersungkur di Pintu Syurga

ULASAN BUKU : Chin Peng My Side of History