Abah yang paling hebat

Aku kini jua adalah seorang abah. Aku tahu bagi anak-anakku yang masih kecil, aku adalah yang paling kuat, gagah, kebal, berani dan sebagainya. Bagi mereka, akulah superman, spiderman mahupun ultraman. Segalanya pasti selamat jika mereka berada di belakangku.

Manakan tidak, benda yang sangat berat bagi mereka, aku mampu mengangkatnya dengan mudah. Anak sulungku Amanda meminta aku mengalihkan khemah mainannya dari dapur ke ruang depan, aku mampu angkat seorang. Rayyan pula meminta aku mengambilkan kotaknya di almari tinggi, langsung tak mampu dijangkau, tapi aku mampu. Dua-dua merengek nak berdokong di shopping complex. Akhirnya aku angkat kedua-duanya. Terpaku mereka dengan kekuatan ku. Begitulah sebenarnya nilai seorang abah di mata anak-anak yang dambakan kasih sayang.

Aku teringat masa kecil aku juga begitu. Abahku dengan gagah membelah kelapa, menolak pemotong rumput, mengangkat beras 10kg seorang diri, yang mana aku terkial-kial nak melakukannya. Masih aku teringat, abahku dengan parangnya, mengajarku membelah mengopek kelapa dan mencabut sabutnya. Aku bukanlah kecil sangat, nak masuk Tingkatan 1 dah. Aku ketuk dengan parang, tak jadi. Aku tarik sabutnya, alahai, macam melekat. Abahku marah, kerana kelembikan ku. Dibuatnya, senang pula jadinya. Memang terasa diri ini lemah sekali berbanding abahku yang ibarat badang.

Apabila aku menjangkau 30an, abahku mula sakit-sakit dan 'tuanya' sudah sangat kelihatan. Di hospital Temerloh, abahku tidak mampu lagi berjalan kerana kakinya sangat sakit. Gout, kencing manis, lemah jantung, luka dalam usus... Apabila nak ke tandas, akulah yang memimpin badan abahku yang mulai lemah. Pada ketika hanya satu di fikirannya, satu ketika, insan inilah yang tergagah dalam hidupku. Dan kini, aku pula menyokong tubuhnya yang dalam keuzuran.

Namun, memori abah yang terhebat adalah yang paling manis dalam hidupku. Walaupun abah telah menemui Pencipta nya, aku sentiasa teringatkannya kerana aku sendiri sedang menjadi hero terhebat anak-anakku.

Comments

Popular posts from this blog

Kari Ayam Sempalit

Ulasan Buku : Tersungkur di Pintu Syurga

ULASAN BUKU : Chin Peng My Side of History