Revolusioner sebenar

Abah tidak pernah lupa mengoyakkan kalendar cina ini setiap hari. Pada 27 Mei 2011, abah masih sempat mengoyakkannya, sebelum abah menghembuskan nafas terakhir selamanya
27 Mei datang dengan seribu satu kenanganku bersama Abah. Abah tidak pernah menggelarkan dirinya sebagai pemimpin hebat, jarang sekali sebagai seorang yang kaya. Tetapi beliau bangga sebagai seorang revolusioner. Semasa kecil, aku sering tertanya-tanya mengapa abah suka menjadi revolusioner? Mengapa abah lebih suka menjadi sebahagian dari Marhainisme, dan memperjuangkan rakyat termiskin?

Abah selalu mengatakan, jika inginkan kekayaan di dunia yang sementara ini, sertailah UMNO. Tapi abah sendiri tidak menyertai UMNO, kenapa? Kerana abah bukan pencari dunia, beliau adalah pemburu keadilan dan memperjuangkan kepentingan rakyat. Mungkin jika beliau tak sertai PRM dan sertai UMNO, abah dah merasa duduk di rumah banglo mewah dengan kenderaan yang hebat hasil dari projek-projek kerajaan dan sebagainya. Namun abah tak pernah kisah.

Itu semasa muda, apabila abah sudah berusia, beliau tak mampu lagi turun bersama gerakan massa menentang kezaliman dan kebobrokan. Abah lebih selesa menjadi revolusioner dalam ruangnya sendiri. Abah tidak pernah kisah menggunakan van Liteace yang agak buruk, walaupun kakakku selalu segan, mengatakan seolah-olah kami dari keluarga peneroka Felda. Abah tak pernah kisah.

Radio van yang rosak, dibaiki sendiri. Sesetengah butangnya dah hampir tercabut, dilekatkan dengan gam UHU dan ditampal dengan Zebra Tape. Di rumah pula, tandas selagi termampu dibaiki sendiri, beli sendiri plastik dan pemegang tandas, kami pasang sendiri. Masih aku ingat, video player berjenama National, berapa kali abah tukar sendiri kepala video. Abah sayang video player tu, tapi video tersebut dicuri semasa aku berumur 13 tahun. Bukanlah kami miskin sangat, tapi abah suka cara tersebut. Nampak bertampal sana-sini, tapi masih boleh digunakan. Sebabnya, Abah tak pernah kisah.

Memang betul, abah adalah revolusioner sebenar!

Comments

Popular posts from this blog

Kari Ayam Sempalit

Ulasan Buku : Perginya Datuk Bahamanku

ULASAN BUKU : Chin Peng My Side of History