Bukit Jalil 2014

Esok 1 November, sekali lagi aku dan adikku akan ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan pasukan kesayangan kami Tok Gajah bertemu JDT. Perlawanan yang dianggap sebagai Final of The Century, Battle of the Giants, Battle of the Chants dan sebagainya. Memang kedua-dua pasukan ini layak dan berhak ke final. Prestasi yang ditunjukkan sepanjang 2014 cukup membanggakan, dan tiada pasukan lain yang lebih berhak ke final 2014 kecuali Pahang dan Harimau Selatan.

Seperti biasa Adi akan meng 'ejas' tiket untuk kami, dan kami bertuah kerana mendapatkannya secara online, tak perlu berimpit dan bersesak dengan penyokong tegar lain di kaunter stadium. Memang seksa melihat keadaan mereka di sana, demi sekeping tiket, tapi itulah yang dinamakan die hard fan. Apa yang mengecewakan, Majlis Daerah, ADUN, org2 kenamaan dan orang2 politik dapat seinci tebal tiket, yang pastinya akan diedarkan di kalangan kroni dan mereka-mereka yang tak minat bola. Inilah dunia mereka, pada mereka halal dan haram sama sahaja.

Setiap kali kami ingin menonton bola tambahan lagi perlawanan penting sebegini, aku teringat pada arwah abahku yang juga peminat setia Pahang. Abahku lah yang mempengaruhi dan menjadikan kami berdua beradik gila bola dan menyokong Pahang sampai ke saat ini. Aku masih ingat, perlawanan pertama yang kami lihat (rangkuman sahaja) adalah Pahang melawan Kuala Lumpur pada tahun 1990. Aku berumur 9 tahun waktu itu. Pahang menang 3-1. Abah bersorak gembira dan melompat setiap kali Pahang gol. Aku yang sebenarnya belum begitu mengerti turut bersorak, tapi akhirnya aku semakin faham, negeriku adalah Pahang, dan Pahang sampai mati.

Atas minat itu juga, ada beberapa kali abah membawa kami ke Stadium Darul Makmur. Perlawanan pertama adalah Pahang vs Perak, pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia 1993. Pahang menang 4-3. Aku masih ingat detik itu, yang mana Perak mendahului Pahang dengan 3-0 pada satu ketika, tapi Pahang berjaya mengejar sehingga kedudukan menjadi 4-3. Rupanya memang dari dulu Pahang layak digelar 'King of Comeback'. Namun di sebalik itu, ada satu atau 2 musim di mana Pahang pula layak digelar 'King of Leweh', kerana Pahang selalu skor dulu, tapi pasukan lawan yang buat comeback. Hampeh!! Hehe

Abah juga pernah bersama aku dan adik ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1995, bertemu Selangor. Masa itu pertemuan Pahang dan Selangor ni layak digelak 'El Classico' lah, kerana pressure serta intimidation yang tinggi setiap kali bertembung. Pahang tewas 0-1 pada masa tambahan. Abah kecewa, kami apatah lagi. Fan Selangor pada masa itu cukup kurang ajar, orang bandar lah katakan. Mereka mengekori bas kami dan mengejek kami sampai ke terowong lebihraya Karak. Abah siap bengang lagi apabila driver siap nak turun minum di Lancang. Abah kata "apalah nak turun2 minum, bukannya nak celebrate pun".

Tapi kenangan-kenangan itu buat aku tersenyum. Itulah warna-warni seorang penyokong setia. Pasukan kesayangan kita tidak akan sentiasa berada di atas dan di bawah.

Untuk perlawanan esok, aku tidak terlalu mengharapkan kejuaraan kerana Pahang telah menjadi juara tahun lepas, namun lebih kepada perlawanan yang menarik dan memuaskan hati semua. Bertemu lagi di Bukit Jalil, Hogoh Pahang Hogoh!

Comments

Popular posts from this blog

Kari Ayam Sempalit

ULASAN BUKU : Chin Peng My Side of History

Ulasan Buku : Perginya Datuk Bahamanku